Tak Tahu Nak Simpan Kat Mana So Tempek di Blog yer

boleh refer time nk besarkan anak nanti ;) So tempek kat cni la yer..

Pembesaran enam tahun kritikal

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Date : 01.11.2010



PERTUMBUHAN POSITIF...kanak-kanak memerlukan lebih banyak kalsium berbanding orang dewasa.

PROSES tumbesaran kanak-kanak pada usia satu hingga enam tahun adalah fasa yang sangat penting.

Ini kerana pada masa ini, fizikal mereka membesar dengan cepat diikuti perkembangan otak melalui pembentukan pengalaman ketika mereka menggunakan deria sentuhan, bau, rasa, pendengaran dan penglihatan.

Namun proses ini berbeza bagi setiap kanak-kanak bergantung kepada khasiat pemakanan yang diberikan ibu bapa.


Ramai ibu bapa tidak sedar tabiat pemakanan mereka akan turut mempengaruhi corak pemakanan anak-anak. Misalnya ada ibu bapa tidak suka minum susu atau makan sayur-sayuran kerana sudah terbiasa sejak kecil yang mungkin juga dipengaruhi oleh ibu bapa mereka pula.


Jika perkara ini berlaku ibu bapa seharusnya berusaha mengubah tabiat pemakanan kanak-kanak menjadi lebih sihat sehingga mereka dewasa.

Ada pula ibu bapa mula memberhentikan pengambilan susu apabila anak-anak sudah mula memasuki prasekolah kerana beranggapan anak-anak sudah boleh makan pelbagai jenis makanan dan mereka memperoleh khasiat yang mencukupi hanya dengan mengambil makanan saja.

Menurut pakar nutrisi Dutch Lady, Quah Ye Vian, usia satu hingga enam tahun adalah peringkat yang sangat penting bagi kanak-kanak memperoleh khasiat seimbang untuk tumbesaran fizikal dan perkembangan otak mereka.

Pada dua tahun pertama, isi padu otak akan bertambah dengan cepat daripada 400 mililiter kepada 1,100 mililiter, justeru, pada tahap ini ibu harus menyediakan khasiat makanan seimbang yang hanya diperoleh menerusi susu.

“Susu adalah makanan yang kaya nutrien juga sumber vitamin dan mineral yang baik, seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.

“Susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak yang berfungsi sebagai pembekal tenaga.

“Kanak-kanak pada peringkat ini memerlukan semua nutrisi ini untuk perkembangan mata, kulit, gigi dan pembinaan 90 peratus bahagian tubuh iaitu tulang,” katanya.

Menurutnya, setiap orang memerlukan kalsium sepanjang hayat namun kanak-kanak memerlukan lebih banyak kalsium setiap unit berat badan berbanding orang dewasa.

Kekurangan kalsium pada awal usia akan menghalang kanak-kanak daripada mencapai ketumpatan tulang maksimum yang boleh meningkatkan risiko penyakit tulang rapuh (osteoporosis).

“Tanda gejala tulang rapuh tidak berlaku ketika kanak-kanak, tetapi akan dialami apabila mereka berusia awal 20-an antaranya sakit gigi, tidak dapat berjalan, sakit sendi, kaki dan badan,” katanya.

Justeru, menurut Quah, pengambilan kalsium yang mencukupi bukan saja diperoleh menerusi susu dan produk tenusu, tetapi pelbagai sumber makanan termasuk ikan sardin, ikan bilis, produk kekacang (misalnya tauhu dan tempe) dan buah-buahan kering seperti kismis, kurma, aprikot dan prun serta sayuran berdaun hijau seperti bayam dan kailan.

“Kalsium susu paling mudah diserap dan digunakan tubuh badan. Hanya dengan minum dua gelas susu setiap hari boleh membekalkan jumlah kalsium yang diperlukan untuk proses tumbesaran kanak-kanak.

“Selain itu, ketika kanak-kanak membesar, otak mereka akan berkembang dengan cepat, justeru, kanak-kanak memerlukan omega-3 yang mengandungi DHA manakala omega-6 mengandungi AA yang baik untuk perkembangan otak.

“Dengan ini sel otak akan dapat berinteraksi dengan lebih cepat antara satu sama lain dan ini membantu dalam meningkatkan proses pembelajaran mereka,” katanya.

Susu juga mudah dihidangkan sehingga kanak-kanak boleh minum susu pada bila-bila masa saja. Susu boleh diberikan secara terus oleh ibu sama ada di dalam botol, gelas atau boleh dimakan bersama semangkuk bijirin sarapan atau dihidangkan bersama sandwic.

“Bagi kanak-kanak yang sudah bersekolah, ibu bapa boleh membekalkan sekotak susu sedia ada di pasaran sebagai sarapan yang cepat lagi berkhasiat untuk anak sebelum ke tadika. Apabila anak berasa lapar antara waktu makan, minum sekotak susu sudah cukup menjadi penyelamat. “Walaupun susu tidak boleh menggantikan diet yang seimbang, kandungan nutrien lengkap yang terdapat dalam susu boleh membantu anak anda yang tidak berselera makan,” ujarnya.

Ada kajian menunjukkan pengambilan sarapan boleh mempengaruhi tumpuan pembelajaran kanak-kanak. Sarapan membantu perkembangan kognitif terutama sekiranya diet sarapan mengandungi susu yang diperkaya dengan omega-3 dan omega-6 yang boleh memperkuatkan daya ingatan serta tumpuan dalam pembelajaran.

Tambahnya kandungan dan nutrien susu berbeza mengikut peringkat usia anak.
Oleh sebab itu Dutch Lady banyak melakukan kajian mengenai keperluan nutrien mengikut usia kanak-kanak bermula setahun hingga enam tahun dan enam tahun ke atas.

Ada juga kanak-kanak yang tidak berselera makan atau hanya makan sejenis makanan saja. Ini berlaku kerana pada usia dua tahun ke atas biasanya kanak-kanak sudah didedahkan dengan coklat, gula-gula serta minuman berperisa. Kebanyakan kanak-kanak akan memilih makanan sebegini berbanding nasi atau sayur-sayuran kerana rasanya lebih sedap.

Dalam hal ini, Quah menasihati ibu bapa supaya bijak mempelbagaikan jenis makanan bagi memastikan anak mereka mendapat nutrisi mencukupi untuk perkembangan fizikal, tulang dan gigi yang kuat. Jangan memaksa anak sebaliknya didik mereka mengenai kepentingan mendapatkan khasiat makanan seimbang.

Sekiranya anak-anak tidak suka makan sayur mungkin kerana cara penyediaan makanan yang kurang menyelerakan, ibu bapa perlu bijak mempelbagaikan warna makanan. Pilih sayur-sayuran berwarna-warni seperti lobak merah, brokoli, jagung, kacang panjang, labu, kentang serta menggunakan cara memasak yang menjadi kegemaran mereka.

“Mungkin sebagai ibu anda tidak boleh memasak mengikut kemahuan anda, sebaliknya pilih makanan mengikut piramid makanan kemudian sediakan di dalam bekas berwarna dengan hiasan yang boleh menarik minat kanak-kanak untuk makan.

“Biasanya makanan yang bersifat biasa dan tiada daya penarik akan menyebabkan kanak-kanak jemu untuk menikmatinya,” jelasnya.

Panduan pemakanan sihat untuk keluarga:

1. Pastikan setiap ahli keluarga minum susu dan menyediakan susu sebagai menu makanan harian. Apabila anak-anak melihat, dia tidak mahu ketinggalan kerana semua orang berbuat demikian.

2. Benarkan anak memilih perisa susu yang mereka gemari. Mungkin anak anda lebih gemar minum susu berperisa berbanding susu biasa yang anda sediakan.

3 Hidangkan susu kotak secara sejuk dan susu tepung secara suam.

4. Sebelum minum susu ceritakan khasiat susu kepada anak. sDengan mengetahui kebaikannya, dia tentu lebih gemar minum susu.

5. Gunakan daya kreatif untuk menghidangkan susu sebagai contoh, kisar dengan ais krim untuk menjadikannya lebih lazat.

Kisar bersama buah-buahan atau jus buah-buahan untuk menghasilkan minuman dadih berkhasiat atau dimakan sebagai sarapan bersama bijirin.

6. Pantau pemakanan anak-anak, jangan biarkan anak anda mengambil makanan ringan dan makanan segera terlalu banyak sehingga dia mengabaikan pengambilan susu.

7. Ajar anak mengenai makanan yang patut dibeli di sekolah. Ini menjadikan mereka supaya tidak terikut dengan tabiat pemakanan kawan.

8. Sediakan bekalan berkhasiat kepada anak setiap hari ke sekolah.

9. Ibu harus tahu mengenai piramid makanan seimbang dan menyediakan makanan yang pelbagai dalam kuantiti sederhana dan paling penting seimbang.

10. Biasakan untuk menikmati hidangan makan malam bersama. Ini kerana apabila makan bersama, ia menyebabkan anak-anak akan turut makan dengan penuh selera.
11. Sediakan makanan dengan penuh kasih sayang serta sentiasa berdoa agar anak akan mendapat khasiat daripada makanan yang anda sediakan.

Source : Hmetro


No comments: